Wednesday, May 27, 2009

134340 Pluto : Sekadar di pinggiran pt 1

Assalamualaikum wbt. Sebenarnya, Cikgu Am sangat teruja apabila Khairi meminta cikgu untuk menghasilkan karya atau cetusan pendapat untuk dimuatkan di dalam laman blog ini. Untuk tidak menghampakan permintaan beliau, cikgu akan cuba memaparkan kisah-kisah atau cerita ilmiah yang mapan dan bermanfaat, sesuai sebagai makanan minda pembaca blog sekalian. Sebagai permulaan, cikgu akan menyiarkan rintihan nasib planet bongsu di dalam Sistem Suria kita.

Rajah 1.1 Pluto

Pluto (Rajah 1.1), sebuah planet sejuk dan berais merupakan sebuah planet yang paling jauh dari matahari dan yang terakhir menyertai Sistem Suria. Sejak ditemui pada 1930 oleh Clyde W. Tombaugh dari Pusat Pencerapan Lowell di Arizona, A.S, saintis pada ketika itu telah mengikitraf Pluto sebagai sebuah planet. Nama 'Pluto' dipercayai diambil bersempena dengan nama Tuhan dari alam barzakh dari mitos purba Greek. Ada pendapat yang mengatakan nama planet ini diambil daripada nama watak seekor anjing peliharaan daripada rancangan kartun yang mula popular pada masa itu iaitu Mickey Mouse.

Rajah 1.2 Watak Disney, Pluto

Namun sebenarnya, nama ini diilhamkan oleh Venetia Burney, seorang kanak-kanak yang berasal dari Oxford, England dan baru berusia 11 tahun ketika itu. Burney yang sangat meminati astronomi dan mitos-mitos klasik telah diberi ganjaran sebanyak 5 Pound oleh datuknya setelah nama itu telah berjaya dipilih sebagai nama untuk planet yang baru ditemui itu. Hanya selepas itu, barulah watak kartun Disney, Pluto (Rajah 1.2) telah diberikan nama itu bersempena dengan rasa kebanggaan terhadap kejayaan seorang warga A.S telah berjaya menemui sebuah planet baru. Lantas daripada kejayaan itulah Glenn T. Seaborg telah menamakan unsur kimia 'plutonium' (Rajah 1.3), meneruskan tradisi penamaan unsur-unsur kimia yang mengambil nama planet-planet yang baru ditemui. Antaranya ialah uranium, bersempena dengan nama planet Uranus dan neptunium bersempena dengan nama planet Neptun.


Rajah 1.3 Plutonium di dalam Jadual Berkala Unsur

Namun, pada Ogos 2006, Kesatuan Astronomi Antrabangsa telah mengejutkan dunia dengan menggugurkan Pluto daripada Sistem Suria. Ini bermakna, terdapat hanya lapan planet di dalam Sistem Suria (Rajah 1.4). Bahkan, bukan setakat itu sahaja, Pluto juga tidak dianggap sebagai sebuah planet lagi. Apakah yang berlaku? Apakah salah Pluto sehingga ia diperlakukan sebegini? Apakah nasib Pluto selepas ini? Jika ia bukan planet, apakah status Pluto sekarang?

Rajah 1.4 Sistem Suria


Ikuti sambungannya...



2 comments:

  1. mode intektual sgt oke!
    jarang d dengari kalau dr mulut ko
    haha

    ReplyDelete